Oleh: Nursyafiqah
Kehidupan seharian kita dipengaruhi oleh keadaan cuaca semasa. Di Malaysia, cuaca panas membahang adalah satu fenomena yang sangat biasa.
Dalam keadaan cuaca yang panas melampau ini, kita bukan sahaja digalakkan untuk minum air yang secukupnya untuk mengekalkan kadar cecair dalam badan.
Terdapat beberapa jenis makanan yang harus dikurangkan pengambilannya ketika cuaca panas kerana akan mengakibatkan suhu dalam tubuh badan akan meningkat.
Yang pertama adalah makanan pedas. Rakyat Malaysia sememangnya sinonim dengan makanan pedas. Namun, makanan pedas sebaiknya dikurangkan ketika cuaca panas begini. Ini kerana, makanan pedas dikatakan boleh meningkatkan suhu badan selain daripada dapat menghasilkan peluh yang berlebihan. Oleh itu, masakan yang menggunakan cili api seperti sambal tumis yang pedas sebaiknya dielakkan.
Seterusnya, yang kedua adalah kopi dan teh. Sudah menjadi kebiasaan kita ketika mengambil sarapan pagi dengan minuman kopi atau teh. Akan tetapi ketika cuaca panas ini, dua minuman ini perlu dielakkan pengambilannya. Pengambilan kopi dan teh boleh digantikan dengan jus buah-buahan yang kurang gula ketika bersarapan. Selain itu, pastikan minum air masak yang secukupnya untuk membekalkan air yang cukup pada tubuh badan kita.
Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan beberapa saranan ketika berdepan cuaca panas. Antaranya ialah banyakkan minum air kosong, gunakan kipas atau penghawa dingin, lebihkan masa untuk berada di dalam rumah, pakai losyen pelindung sinar matahari, kurangkan minum minuman berkafien, alkohol dan bergula, pakai pakaian yang ringan, bewarna terang dan longgar, tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa penghawa dingin, minum minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang akibat berpeluh dan memakai topi atau payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.