Oleh: Nursyafiqah
Tubuh badan manusia memerlukan sumber zat daripada makanan. Oleh yang demikian, terdapat beberapa zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan manusia seperti air, mineral, vitamin, protein, lemak dan karbohidrat. Keperluan tubuh manusia terhadap pengambilan makanan perlu diambil dalam kuantiti yang sederhana.
Pemakanan yang baik mula mempengaruhi kesihatan tubuh sejak daripada kita kecil lagi. Ianya juga membantu menguatkan sistem imun serta menguatkan sistem daya ketahanan semula jadi tubuh badan. Nikmat kepelbagaian sumber makanan yang dianugerahkan oleh Allah memerlukan kebijaksanaan seseorang individu untuk memilih makanan agar tidak terjerumus ke dalam kebinasaan.
Pemakanan seharian kita memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit. Pepatah inggeris ada mengatakan ‘we are what we eat’ yang bermaksud kita adalah apa yang kita makan. Oleh itu, sekiranya kita ingin tubuh badan yang sihat, kita seharusnnya mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia tidak mengikut peraturan yang telah disusun oleh Allah S.W.T. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia sendiri kerana tidak menjaga keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan adalah penting untuk kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Sepertimana yang termaktub dalam surah ar-Rum ayat 41 dimana Allah mengingatkan kita bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.